3.1 JENIS-JENIS PERNIAGAAN DI MALAYSIA
Di Malaysia, secara umumnya terdapat tiga jenis perniagaan yang sering diamalkan, iaitu:
a. Perniagaan Persendirian.
b. Perkongsian.
c. Syarikat.
Tiap-tiap jenis perniagaan mempunyai ciri-ciri yang sama atau berbeza antara satu sama lain dan mempuyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri.
3.1.1 PENGENALAN
Gambarajah di bawah menerangkan tentang organisasi perniagaan di Malaysia.
Gambarajah : Organisasi Perniagaan Di Malaysia
3.1.2 PERNIAGAAN PERSEORANGAN
Ciri-ciri perniagaan perseorangan ialah :-
1. Penubuhan dan Milikan
· dimiliki oleh seorang individu.
· mudah ditubuhkan dan tidak melibatkan peraturan yang banyak.
· didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan mendapat lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan.
· modal bermula dari simpanan atau pinjaman oleh pemiliknya sahaja dan biasanya kecil atau terhad.
2. Kawalan dan Pengurusan
· diuruskan dan dikawal oleh pemiliknya sendiri.
· bebas membuat dasar dan keputusan
· kejayaan perniagaan bergantung kepada daya usaha dan kebolehan pemilik sendiri dari segi mendapatkan modal dan menjalankan aktiviti pengurusan perniagaan.
3. Liabiliti
· liabiliti yang tidak terhad (kegagalan perniagaan seperti bankrap dan sebagainya akan melibatkan harta peribadi).
· bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua risiko perniagaannya.
· secara undang-undang tiada perbezaan antara harta perniagaan dan harta peribadi.
4. Pembahagian Untung
· segala keuntungan atau kerugian akan ditanggung sendiri oleh pemilik.
5. Bebanan Cukai
· hanya dikenakan cukai pendapatan individu.
Kebaikan perniagaan perseorangan ialah :-
a) Modal yang kecil dan mudah dibentuk.
b) Mudah dikendalikan kerana saiz yang kecil dan keputusan berada dalam tangan sendiri.
c) Mempunyai dorongan untuk berjaya kerana segala keuntungan dan keputusan adalah di tangan sendiri.
d) Mempunyai hubungan rapat dengan pelanggan dari segi layanan dan perkhidmatan selepas jualan.
e) Kedudukan kewangan boleh dirahsiakan.
f) Menjimatkan penggunaan buruh kerana kerja-kerja boleh dijalankan oleh ahli keluarga terdekat sebagai pembantu dalam perniagaan.
Kelemahan perniagaan perseorangan ialah :-
a) Modal yang kecil menghalang perkembangan
b) Liabiliti yang tidak terhad
c) Tiada pembahagian kerja dan pengkhususan
d) Kejayaan perniagaan adalah terlalu bergantung kepada kebolehan pemilik.
e) Perniagaan tidak berterusan kerana usia perniagaan bergantung atas usia pemilik.
3.1.3 PERNIAGAAN PERKONGSIAN
Ciri-ciri perniagaan perkongsian ialah :-
1. Pemilikan
· perkongsian ditakrifkan sebagai perhubungan antara dua atau lebih orang yang menjalankan perniagaan bersama untuk memperolehi keuntungan.
· bilangan rakan kongsi adalah dalam lingkungan 2 hingga 20 orang (umumnya).
· bagi perkongsian bank atau broker saham, bilangan rakan kongsi tidak melebihi 10 orang.
· bagi perkongsian yang melibatkan sesuatu profession seperti peguam dan akauntan, rakan kongsi adalah tidak melebihi 50 orang.
· perjalanan sesebuah perkongsian adalah ditetapkan di bawah Akta Perkongsian 1961.
· Perniagaan perkongsian juga tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
2. Penubuhan
· boleh ditubuhkan secara lisan atau bertulis.
· biasanya membentuk satu persetujuan bersama dalam bentuk surat ikatan perkongsian yang dipanggil perjanjian perkongsian bagi mengelakkan perselisihan.
· kandungan perjanjian termasuklah nama firma, nama kesemua rakan kongsi, jenis dan tempat perniagaan, nisbah pembahagian keuntungan/kerugian, peruntukan hak dan tanggungjawab rakan kongsi, cara menjalankan perniagaan dan bagaimana perkongsian akan ditamatkan.
· satu perkongsian boleh wujud tanpa perjanjian tetapi ianya adalah tertakluk kepada peruntukan di dalam Akta Perkongsian 1961.
3. Akta Perkongsian 1961 mengandungi perkara-perkara berikut :-
· untung rugi dibahagikan sama rata.
· tiada bunga bagi modal yang dilaburkan.
· tiada gaji untuk rakan-rakan kongsi.
· pinjaman oleh rakan-rakan kongsi kepada perniagaan akan dikenakan bunga 5% setahun.
Jenis-jenis perniagaan perkongsian
1. Terdapat dua jenis perkongsian :-
· perkongsian biasa
· perkongsian berhad
2. Dalam perkongsian biasa, kesemua rakan kongsi adalah rakan kongsi biasa di mana mempunyai liabiliti yang tidak terhad, kuasa dan tanggungjawab yang sama serta berhak menguruskan perniagaan.
3. Dalam perkongsian berhad, rakan-rakan kongsi adalah mempunyai liabiliti yang terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan dan tidak mempunyai kuasa dalam pengurusan perniagaan. Dalam perkongsian ini, mesti ada sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi biasa yang menanggung semua liabiliti perniagaan dan bertanggungjawab terhadap pengurusan perniagaan.
Jenis-jenis rakan kongsi
1. Rakan Kongsi Aktif
· mengambil bahagian yang aktif dalam pengurusan dan biasanya dibayar gaji.
2. Rakan Kongsi Lelap
· hanya menyumbangkan modal dan tidak mengambil bahagian di dalam pengurusan perniagaan.
3. Rakan Kongsi Nominal (Namaan)
· membenarkan namanya digunakan di dalam perniagaan sebagai rakan kongsi tanpa melaburkan modal. Ia tidak menerima pembahagian keuntungan tetapi liabilitinya adalah tidak terhad (kerana namanya didaftarkan sebagai rakan kongsi).
4. Rakan Kongsi Berhad
· mempunyai liabiliti terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan sahaja dan tidak ada kuasa pengurusan tetapi boleh memeriksa buku-buku rekod dan akaun perniagaan.
Sebab-sebab perniagaan perkongsian dibubarkan
Sesuatu perkongsian boleh dibubarkan kerana salah satu sebab yang berikut :
· Kematian, kebankrapan atau ketidaksiuman salah seorang rakan kongsi.
· Tercapainya tujuan penubuhan perkongsian itu.
· Berakhirnya tempoh masa perkongsian.
· Tercetus peperangan.
· Sebagai akibat tindakan guaman atau dengan perintah mahkamah untuk
membubarkannya.
Kebaikan perniagaan perkongsian ialah :-
1. Lebih modal dapat dikumpulkan.
2. Dapat menggunakan kepakaran dari rakan-rakan kongsi yang berkemungkinan mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang berlainan.
3. Pengkhususan kerja dapat dilakukan dengan adanya pelbagai kemahiran dan kepakaran tersendiri dari rakan-rakan kongsi.
4. Risiko perniagaan dapat disebarkan (dikongsi) antara rakan-rakan kongsi.
5. Persaingan dapat dikurangkan melalui perkongsian, dengan itu perbelanjaan untuk persaingan dapat diagihkan bagi meningkatkan jualan dan memperkembangkan perniagaan.
6. Perkongsian masih lagi mudah untuk ditubuhkan berbanding penubuhan syarikat atau koperasi. Ianya hanya perlu didaftarkan dengan Pendaftar Perniagaan dan mendapatkan lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan.
Kelemahan perniagaan Perkongsian
1. Jika berlaku salah faham atau perselisihan antara rakan kongsi akan menjejaskan rancangan dan perjalanan perniagaan serta boleh membawa kepada pembubaran perkongsian.
2. Liabiliti yang biasanya tidak terhad akan menyebabkan individu / rakan kongsi kehilangan harta persendirian jika perniagaan menghadapi masalah dalam pembayaran balik hutang piutangnya.
3. Kesilapan dari seorang rakan kongsi akan mengikat rakan-rakan kongsi yang lain. Ini kerana setiap rakan kongsi mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap perkongsiannya. Segala kerugian akan ditanggung bersama walaupun diakibatkan oleh hanya seorang rakan kongsi.
4. Perniagaan perkongsian adalah tidak berkekalan. Jika seorang rakan kongsi menjadi tidak siuman, bankrap atau mati, perkongsian mungkin terpaksa dibubarkan.
5. Pengumpulan modal adalah masih terhad dalam lingkungan maksima 20 orang sahaja. Maka perkembangan perniagaan adalah bergantung kepada sumber modal yang terhad ini.
3.1.4 SYARIKAT
Syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 adalah merupakan badan korporat yang mempunyai entiti tersendiri di sisi undang-undang.
Ciri-ciri syarikat ialah :-
1. Hak dan Tanggungjawab
· mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri (berasingan dari pemiliknya/ pemegang saham).
· boleh memiliki harta sendiri
· boleh mendakwa dan didakwa
· bertindak (pengurusan) menerusi pengurus-pengurus yang digajikan oleh syarikat.
2. Jangka Hayat
· tidak bergantung kepada hayat pemilik atau pemegang sahamnya.
· mempunyai jangka hayat yang berterusan selagi tidak dibubarkan oleh pemilik/ pemegang saham atau oleh undang-undang.
3. Tanggungan
· tanggungan oleh pemilik adalah terhad kepada jumlah sumbangan saham.
4. Ahli-ahli
· mestilah sekurang-kurangnya mempunyai dua orang ahli yang mempunyai alamat bermastautin di Malaysia.
Jenis-jenis syarikat
1. Syarikat Berhad Menurut Saham
· tanggungan ahli-ahli terhad mengikut jumlah yang belum dibayar ke atas saham yang dimilikinya.
2. Syarikat Berhad Menurut Jaminan
· tanggungan ahli-ahli adalah terhad mengikut jumlah yang dipersetujui oleh ahli-ahli di dalam Tataujud dan Tataurus Syarikat.
3. Syarikat Tidak Berhad (tidak terhad; contoh broker saham dan arkitek)
Kategori syarikat berhad menurut saham
Syarikat bentuk ini mempunyai modal saham dan ianya boleh dikategorikan kepada :-
1. Syarikat Sendirian Berhad (Private Company)
2. Syarikat Awam (Public Company) - tidak dibincangkan
3. Syarikat Asing (Foreign Company) - tidak dibincangkan
SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD
Ciri-ciri syarikat sendirian berhad ialah :-
1. Bilangan ahli/pemegang saham mestilah sekurang-kurangnya 2 orang tetapi tidak boleh melebihi 50 orang pada satu-satu masa.
2. Ada kuasa tertentu untuk memindahkan milik saham ahli-ahli.
3. Pelawaan pembelian saham atau debentur tidak boleh dilakukan kepada orang ramai.
4. Tidak boleh mempelawa orang ramai untuk mendepositkan wang.
Halangan-halangan ini adalah telah diperuntukan di bawah Seksyen 15(1) Akta Syarikat 1965 dan mesti dinyatakan di dalam Tataurus Syarikat.
5. Mesti menggunakan perkataan “Sdn. Bhd.” atau “Sendirian Berhad” di penghujung nama perniagaanya.
Kehendak-kehendak wajib bagi syarikat sendirian berhad ialah :-
1. Tataujud Syarikat (Memorandum of Association)
2. Tataurusan Syarikat (Articles of Association)
3. Modal Saham
· yang dibenarkan
· yang berbayar
4. Ahli/Pemegang Saham
5. Lembaga Pengarah
6. Setiausaha
7. Juruaudit
8. Pejabat yang didaftarkan
9. Materi Syarikat
10. Power of Attorney (
Kelebihan syarikat sendirian berhad ialah :-
1. Mudah mendapatkan modal melalui penukaran hak milik saham.
2. Pemegang-pemegang saham dilindungi oleh perundangan.
3. Pemilik saham tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan perniagaan.
4. Tanggungjawab pemilik/pemegang saham adalah terhad kepada sumbangan modal sahaja.
5. Hayat syarikat terjamin kerana syarikat tidak perlu dibubarkan oleh sebab kematian atau penarikan diri seorang pemegang saham.
6. Potensi mengembangkan perniagaan adalah luas.
7. Syarikat adalah satu entiti yang berasingan dan oleh itu ia boleh didakwa dan mendakwa di atas namanya sendiri.
Kelemahan syarikat sendirian berhad ialah :
1. Perjalanan operasi adalah dalam kawalan pendaftar syarikat.
2. Saham syarikat tidak boleh dijual beli melalui pasaran saham.
3. Berbagai jenis cukai terpaksa dibayar.
4. Laporan kewangan perlu diaudit oleh juruaudit yang bertauliah dan dokumen-dokumen mestilah lengkap dan dikemaskinikan.
3.2 PENDAFTARAN PERNIAGAAN
Setiap perniagaan yang ingin ditubuhkan di Malaysia adalah tertakluk di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM). Bagi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian adalah tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 1979) manakala bagi perniagaan berbentuk syarikat pula adalah tertakluk di bawah Akta syarikat 1965. Manakala peniaga-peniaga yang disebutkan di bawah ini adalah dikecualikan iaitu:-
1. Penjaja kecil-kecilan seperti pasar malam atau perniagaan bersabit dengan pelancongan atau perniagaan perkhidmatan yang diberi kuasa pada setengah-setengah agensi kerajaan.
2. Syarikat yang telah berdaftar dengan pendaftaran syarikat
3. Perniagaan yang berbentuk perkhidmatan professional seperti Jurutera, Arkitek, Akauntan dan Peguam.
Pihak-pihak yang ingin memulakan perniagaan perlu mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
3.2.1 PENDAFTARAN PERNIAGAAN MILIKAN TUNGGAL DAN PERKONGSIAN
Prosedur pendaftaran
· Para pemohon harus terlebih dahulu mendapatkan kelulusan nama dari pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
· Pemohon harus mengisi borang A dalam tempoh 21 hari dari tarikh kelulusan nama perniagaan. Maklumat-maklumat yang perlu diisikan di dalam Borang A ialah:
ü Maklumat berkenaan nama pemohon
ü Tarikh perniagaan bermula
ü Cawangan perniagaan
ü Jenis perniagaan
Bayaran yang dikenakan semasa pendaftaran
BIL | JENIS PERNIAGAAN | BAYARAN |
1 | Perniagaan milik tunggal menggunakan nama peribadi mengikut kad pengenalan | RM 30.00 |
2 | Perniagaan milik tunggal dan Perkongsian menggunakan nama dagang | RM 60.00 |
Setiap pemohon akan diberikan sijil pendaftaran perniagaan sebaik sahaja selepas mendapatkan kelulusan dari pihak suruhanjaya. Sijil ini perlu diperbaharui dari masa ke semasa. Pemilik perniagaan yang gagal memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 boleh didenda sebanyak RM 50,000 atau dipenjara tidak lebih dari 2 tahun atau kedua-dua sekali.
PENDAFTARAN PERNIAGAAN MILIKAN TUNGGAL DAN PERKONGSIAN
PERKARA | BORANG | BAYARAN |
Carian nama perniagaan | Mendapatkan kelulusan nama dari SSM | - |
Mendaftarkan Perniagaan | Borang A | 1. RM 30 nama peribadi mengikut Kad Pengenalan |
2. RM 60 nama dagang | ||
Perubahan maklumat perniagaan: | | RM 20.00 |
Ä Perubahan Alamat Perniagaan | BORANG B1 | |
Ä Perubahan Jenis Perniagaan | BORANG B2 | |
Ä Perubahan Maklumat Cawangan | BORANG B3 | |
Ä Perubahan Maklumat Pemilik/Rakankongsi | BORANG B4 | |
Penamatan Perniagaan | BORANG C (Notis Penamatan Perniagaan) | - |
Jadual :Proses Pendaftaran Perniagaan Milikan Tunggal Dan Perkongsian
TATACARA PENDAFTARAN PERNIAGAAN MILIKAN TUNGGAL DAN PERKONGSIAN
CARIAN NAMA PERNIAGAAN
NAMA DILULUSKAN
MENDAFTARKAN PERNIAGAAN
PERUBAHAN MAKLUMAT PERNIAGAAN
PENAMATAN PERNIAGAAN
Gambarajah : Tatacara Pendaftaran Perniagaan Milikan Tunggal dan Perkongsian
3.2.1 PENDAFTARAN PERNIAGAAN SYARIKAT TEMPATAN
Prosedur Pertubuhan
· Membuat Carian Nama
Sebelum mendaftarkan sesebuah syarikat carian nama hendaklah dibuat untuk menentukan samada nama yang dipilih boleh digunakan untuk mendaftarkan syarikat berkenaan.
· Menghantar dokumen-dokumen berikut ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia:-
o Memorandumdan perkara-perkara persatuan
o Borang 48A- Akuan Berkanun sebelum dilantik sebelum dilantik menjadi pengarah atau pengasas syarikat
o Borang 6- Akaun Pematuhan
o Borang 13A yang asal - carian nama
o Salinan surat-surat kelulusan nama syarikat
o Salinan kad pengenalan pengarah dan setiausaha syarikat
· Bayaran Pendaftaran Modal Syer:
Modal Yang Dibenarkan (RM) | Bayaran (RM) |
Sehingga 100,000 | 1,000 |
100,001-500,000 | 3,000 |
500,000-1juta | 5,000 |
1,000,001- 5 juta | 8,000 |
5,000,001- 10 juta | 10,000 |
10,000,001 – 25 juta | 20,000 |
25,000,001- 50juta | 40,000 |
50,000,0001 – 100 juta | 50,000 |
100,000,001 dan ke atas | 70,000 |
Jadual : Pembayaran Pendaftaran Modal Syer
Apabila semua dokumen yang diperlukan dimajukan dan didapati sempurna Sijil Perakuan Pemerbadanan Syarikat seperti di bawah dikeluarkan:
Borang 8 – Sijil pemerbadanan untuk syarikat awam
Borang 9 – sijil pemerbadanan untuk syarikat sendirian
PENDAFTARAN SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD
PERKARA | BORANG | BAYARAN |
Carian nama | Borang 13 A | RM30.00 bagi setiap nama yang dipohon |
Memorandumdan Perkara-Perkara Persatuan | Salinan Asal yang disetemkan | RM 200 |
Akuan berkanun sebelum dilantik menjadi pengarah atau pengasas syarikat | Borang 48A | |
Akuan Pematuhan Menyatakan segala peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965 telah dipatuhi | Borang 6 | |
Bayaran Pendaftaran modal syer | | Rujuk Jadual 3.2.2.1 Pembayaran Pendaftaran Modal Syer |
Sijil pemerbadanan:- | | |
F Sijil pemerbadanan untuk syarikat awam | Borang 8 | |
F Sijil pemerbadanan untuk syarikat sendirian | Borang 9 | |
Jadual : Proses Pendaftaran Syarikat Sendirian Berhad
TATACARA PENDAFTARAN SYARIKAT
CARIAN NAMA SYARIKAT
NAMA DILULUSKAN
FAILKAN DOKUMEN-DOKUMEN
SIJIL PENUBUHAN DIKELUARKAN OLEH SSM
FAILKAN DOKUMEN-DOKUMEN
Gambarajah : Tatacara Pendaftaran Syarikat
3.2.3 PERBANDINGAN FORMAT PERNIAGAAN DAN PENDAFTARAN PERNIAGAAN MILIKAN TUNGGAL, PERKONGSIAN DAN SYARIKAT
Kebaikan & Keburukan | Milikan Tunggal | Perkongsian | Syarikat Sdn.Bhd |
1. Tanggungan / Liabiliti | Tanggungjawab pemilik perniagaan TIDAK TERHAD | Tanggungjawab rakan kongsi, perlu mengeluarkan harta persendirian untuk melangsaikan hutang. TIDAK TERHAD | Tanggungjawab syarikat membabitkan harta syarikat sendiri untuk menjelaskan hutang. TERHAD |
2. Keuntungan dan Harta | Hak pemilik perniagaan | Hak rakan-rakan kongsi | Hak Syarikat |
3. Pengurusan | Tanggungjawab pemilik perniagaan | Tanggungjawab rakan kongsi yang menguruskan perniagaan | Di urus oleh beberapa individu yang masing-masing mempunyai bidang kuasa dan tugas yang tertentu |
4. Tindakan Undang-undang | Tanggungjawab pemilik perniagaan | Semua rakan kongsi bertanggujawab ke atas kesalahan yang dilakukan oleh rakan kongsi yang lain | Hanya pengarah urusan dan pengurus syarikat bertanggujawab ke atas kesalahan tersebut. |
5. Penglibatan kontrak | Dibuat oleh pemilik perniagaan | Boleh dibuat oleh salah seorang dari rakan kongsi. | Hanya boleh dilakukan oleh pengarah urusan yang telah diberi kuasa oleh pemegang saham |
6.Pemindahan saham | Tiada | Pemindahan saham perlu persetujuan dari ahli kongsi yang lain | Pemegang saham tidak boleh membuat pemindahan saham tanpa persetujuan pemegang saham yang lain |
7. Kematian | Perniagaan akan terjejas | Terjejas akibat kematian salah seorang rakan kongsi | Tidak menjejaskan pengurusan perniagaan jika ada kematian pada pemegang saham |
8. Cukai | Cukai yang dikenakan adalah cukai individu iaitu ke atas pemilik perniagaan | Tidak tertakluk kepada cukai kerana cukai yang dikenakan adalah cukai individu rakan kongsi | Tertakluk kepada kadar pencukaian yang tinggi |
3.3 UNDANG-UNDANG DAN PERLESENAN PERNIAGAAN
Setelah menerima perakuan pendaftaran perniagaan, perniagaan perseorangan dan perkongsian mesti mendapatkan lesen perniagaan.
Setiap pihak berkuasa mempunyai undang-undang dan peraturan masing-masing. Disamping itu, bayaran yang berbeza dikenakan mengikut jenis perniagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab peniaga untuk mengetahui keperluan dan peraturan undang-undang dalam perniagaan masing-masing.
3.3.1 UNDANG-UNDANG BERKAITAN PERLESENAN
Tujuan lesen diadakan ialah untuk;
1. Mengawal kebersihan dan keselamatan tempat perniagaan.
2. Mendapatkan hasil pendapatan bagi Pihak Berkuasa Tempatan.
Lesen perniagaan ini dikeluarkan oleh Majlis Tempatan, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan Dewan Bandaraya.
Setiap pihak berkuasa mempunyai undang-undang dan peraturan masing-masing. Disamping itu, bayaran yang berbeza dikenakan mengikut jenis perniagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab peniaga untuk mengetahui keperluan dan peraturan undang-undang dalam perniagaan masing-masing.
Cara mendapatkan lesen perniagaan;
1. Isikan borang permohonan lesen perniagaan.
2. Serahkan borang tersebut kepada pihak berkuasa tempatan.
3. Sebelum lesen dikeluarkan, pihak berkuasa akan memeriksa bangunan untuk memastikan segala peraturan seperti kebersihan dan keselamatan dipatuhi.
4. Kemudian anda akan dipanggil untuk membuat bayaran. Jika terdapat papan iklan, bayaran tambahan akan dikenakan.
5. Lesen ini mesti dipamerkan di dalam kedai.
Jenis-jenis Lesen/Permit/Surat Kuasa.
Selain pendaftaran perniagaan seseorang bakal usahawan perlu memastikan apakah perniagaannya memerlukan lesen/permit/surat-surat kuasa daripada pihak-pihak berkuasa berkenaan seperti penguasa tempatan, Kementerian/Agensi Kerajaan dan sebagainya. Keperluan ini adalah berdasarkan kepada jenis perniagaan yang hendak dijalankan. Antaranya ialah seperti berikut:
a) Lesen Perniagaan.
Lesen-lesen ini meliputi lesen-lesen perniagaan tempatan dan lesen-lesen tempat berniaga yang boleh diperolehi daripada Dewan Bandaraya atau Penguasa-penguasa tempatan mengikut daerah masing-masing.
b) Lesen Cukai Jualan.
Cukai jualan dikenakan ke atas barang-barang yang diimport dan barang-barang tempatan yang tidak dikecualikandari cukai. Permohonan untuk memperolehi lesen cukai jualan ialah daripada Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja
c) Lesen Mengilang.
Seseorang usahawan hanya boleh menjalankan pengilangan setelah memperolehi lesen mengilang kecuali modal berbayar syarikat tersebut kurang daripada RM100,000.00. Dalam keadaan ini pengusaha tersebut perlu memohon pengecualian lesen mengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
d) Lesen Kilang Makanan.
Seseorang usahawan yang mengendalikan perusahaan mengilang makanan perlu memperolehi lesen kilang melalui Pegawai Kesihatan Daerah atau Majlis Perbandaran bagi tujuan-tujuan pemeriksaan kesihatan ke atas kilang-kilang dan ujian keluaran makanan tersebut.
e)
Sebelum memulakan operasi, seorang pengusaha hendaklah memastikan kilangnya selamat daripada sebarang kemungkinan kebakaran di mana sesebuah bangunan perlu mendapatkan Certificate of Fitness (C.F) iaitu
f) Lesen/Permit Pengangkutan.
Tugas-tugas bagi mengeluarkan lesen/permit lori sama ada Kelas A atau C ialah Lembaga Perlesenan Pengangkutan Jalan. Seseorang pengusaha perlu mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam permit lori antaranya;
i) Sekatan-sekatan kawasan untuk menjalankan perniagaan iaitu sama ada di sesuatu kawasan atau di seluruh negeri di Semenanjung
ii) Kenderaan akan diperiksa terlebih dahulu sebelum boleh didaftarkan.
iii) Jenis-jenis lori dan kegunaannya iaitu lesen A bagi mengangkut barang-barang orang lain dan lesen C hanya dibenarkan untuk mengangkut barang sendiri sahaja.
3.3.2 UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN PERNIAGAAN
Terdapat berbagai bentuk undang-undang dan peraturan yang perlu diketahui dan dipatuhi oleh seseorang bakal usahawan sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa.
· Pendaftaran Perniagaan.
Semua bentuk perniagaan di Negara ini perlu didaftarkan. Tatacara pendaftaran telahpun diterangkan sebelum ini. Sekiranya sesebuah perniagaan tidak didaftarkan kemungkinan besar kontrak perniagaan mereka juga dianggap tidak sah dan ini akan menyulitkan usahawan tersebut untuk membuat tuntutan sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
· Keperluan Mesin/Jentera/Peralatan.
Keperluan ini berbeza-beza mengikut aktiviti-aktiviti pengeluaran. Justeru itu, pemasangannya juga berbeza dari sesuatu susun atur tapak kilang. Oleh itu, pengusaha perlu mengambil tindakan yang berhubung dengan taraf keselamatan, kesihatan dan kebajikan di mana mesin-mesin ini dipasangkan. Rekabentuk dandang setim, pengandung tekanan tak berapi dan mesin angkat hendaklah diluluskan terlebih dahulu sebelum ianya dipasang dan dikendalikan. Kelulusan-kelulusan ini boleh diperolehi daripada Jabatan Kilang dan Jentera tertakluk kepada pemeriksaan sekurang-kurangnya setiap 15 bulan.
· Kawalan Pencemaran.
Bakal-bakal usahawan juga perlu memberikan perhatian berat kepada langkah-langkah mencegah pencemaran juga boleh disebabkan oleh kilang. Peruntukan undang-undang mewajibkan pemasangan alat kawalan keselamatan pada kelengkapan kilang sebelum kilang boleh mula beroperasi. Penggabungan rekaan dan pemasangan sistem kawalan penceramaran pada peringkat awal akan menentukan kilang dibina dengan teratur dan mengurangkan kos pembinaan yang berpunca daripada kerja ubahsuai selepas kilang dibina.
Kawalan-kawalan pencemaran ini meliputi kerja-kerja pembinaan cerobong, pemasangan peralatan, pembakaran bahanapi dan pembinaan kilang yang akan melepaskan effluent kotor. Kementerian yang bertanggungjawab ialah Kementerian Sains, Teknologi Alam Sekitar.
1.4 SISTEM SOKONGAN
Konsep sistem sokongan ialah kemudahan yang disediakan samada oleh agensi kerajaan atau swasta dalam membantu melaksanakan atau mengembangkan rancangan perniagaan seseorang usahawan.
Bentuk-bentuk sistem sokongan yang disediakan ialah:
3.4.1 Bantuan Latihan Teknikal.
Bentuk bantuan latihan teknikal yang memberi pendedahan dan bimbingan kepada usahawan melibatkan teknologi dan proses pengeluaran.Antara agensi terlibat MARDI, SIRIM, JKR, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan dan lain-lain.
3.4.2 Bantuan Pemasaran.
Dalam program pemasaran, tujuan agensi-agensi ialah untuk mengedarkan produk siap yang dikeluarkan oleh usahawan. Di antara agensi yang terlibat ialah Karyaneka, FAMA, FELDA, FELCRA dan lain-lain.
3.4.3 Bantuan Lokasi Dan Ruang Niaga.
Bentuk kemudahan ini diwujudkan untuk mengatasi masalah kesukaran dan kekurangan mendapatkan tapak perniagaan. Antara agensi-agensi yang menyediakan kemudahan ini ialah MARA, BPMB, MIEL, Perbadanan Kemajuan Negeri, Majlis Perbandaran dan Kerajaan Tempatan.
3.4.4 Bantuan Maklumat
Bantuan ini berbentuk maklumat yang disampaikan kepada usahawan melalui sebaran oleh agensi-agensi yang terlibat. Maklumat berkaitan perkembangan teknologi, peluang-peluang perniagaan dan segala yang berkaitan bagi membantu usahawan dengan maklumat terkini. Antara agensi yang terlibat adalah MIDA, MARA, SIRIM dan SMIDEC.
3.4.5 Bantuan Penyelidikan Dan Pembangunan
Bentuk-bentuk kemudahan ini membantu usahawan atau bakal usahawan antara lainnya dalam mengenalpasti projek-projek baru yang berdaya maju dan membuat penyelidikan sama dari segi kajian-kajian pemasaran, teknologi, perangkaan dan banyak lagi. Antara agensi yang terlibat dalam penyelidikan mengenalpasti projek ialah SIRIM, MARDI, MIDA, MIDF, FAMA, BPMB, PORLA, RRI dan FRIM.
3.4.6 Bantuan Pembiayaan Kewangan.
Kemudahan ini penting untuk membiayai perlaksanaan samada yang mula hendak berniaga atau yang telah menjalankan perniagaan. Kemudahan berbentuk pembiayaan kewangan ini disediakan oleh bank-bank saudagar, bank pembangunan, bank-bank perdagangan, agensi-agensi kerajaan dan lain-lain.
3.4.7 Bantuan Bengkel, Seminar Dan Latihan
Bantuan yang diberi melalui penganjuran seminar, bengkel dan latihan keusahawanan oleh agensi-agensi kerajaan dan juga persatuan-persatuan pengusaha.
Persatuan bukan sahaja bertindak sebagai “pressure group” dalam menjaga kepentingan ahli, malah ia juga akan mengendalikan seminar, dialog, memberi latihan / kursus dan sumber penyebaran maklumat. Dengan itu, faedah-faedah yang diperolehi apabila menyertai persatuan ialah ahli-ahli dapat bertukar pendapat dan fikiran, mendapat peluang-peluang perniagan, memberi sokongan pada perniagaan ahli-ahli dan menguatkan hubungan antara ahli-ahli. Antara persatuan ini ialah Persatuan Pemborong Binaan, Dewan Perniagaan Melayu
3.4.8 Bantuan Khidmat Nasihat Dan Kaunseling Perniagaan
Bantuan yang dapat memberi panduan kepada usahawan dalam menjalankan perusahaan serta memberi bimbingan bagi membina semangat dan jati diri untuk mencapai kejayaan dalam usahanya. Antara yang terlibat adalah Kementerian Pembangunan Dalam negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dewan Bandaraya, Dewan perniagaan, MARA dan lain-lain.
Sistem sokongan yang diwujudkan adalah bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan memajukan lagi perniagaan mereka. Namun demikian, usahawan perlu sedar bahawa sokongan tersebut bukanlah yang berbentuk kekal. Bentuk-bentuk sokongan ini biasanya akan berubah dari masa ke semasa.
Antara agensi-agensi yang terlibat dalam membantu usahawan ialah:
RUMUSAN
Kegiatan keusahawanan akan hanya dianggap sah serta layak memperolehi kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan atau agensi swasta seprti institusi kewangan apabila usahawan bersedia untuk mendaftarkan perniagaan samaada dalam bentuk persorangan, perkongsian ataupun syarikat. Dalam memilih bentuk perniagaan yang paling sesuai, usahawan perlu menilai kekuatan pengetahuan, pengalaman, jenis perniagaan yang ingin diceburi dan kedudukan kewangan yang dimilikinya. Setiap bentuk perniagaan yang dipilih ada kebaikan dan keburukan masing-masing.
Comments
Post a Comment